Tips

Tried & Tested : Saya cuba rawatan Estetik V-Shape di EE Clinic

Sebagai penulis kecantikan, penjagaan dan penampilan wajah amat saya titikberatkan. Saya pasti bukan saya sahaja, malah setiap wanita hari ini sudah mula menitikberatkan soal penampilan serta kesihatan diri. Mungkin juga kerana terpengaruh dengan budaya serta trend dunia hari ini, di mana kecantikan itu antara aspek penting dalam membina keyakinan diri. Maka tidak hairanlah jika rawatan estetik menjadi antara pilihan wanita hari ini untuk kekal cantik.

Pada saya, rawatan estetik yang bukan invasif ini bukanlah bermakna rawatan yang bertujuan untuk mengubah rupa wajah kamu seratus-peratus. Ia wujud untuk membantu menaikkan serta menambahkan lagi seri kepada kecantikan wajah sedia ada. Maka, jika kamu lihat rawatan seperti suntikan botox dan filler sudah semakin berleluasa, malah wanita hari ini sudah semakin terbuka untuk berkongsi tentang rawatan seperti ini.

Dan jika kamu tanya saya, apakah rawatan estetik paling popular hari ini di kalangan wanita sudah tentunya rawatan wajah V-shape. Ramai wanita mendambakan wajah tirus ini. Mungkin juga mereka terpengaruh dengan budaya wanita Korea yang percaya wajah tirus dan kecil ini lebih cantik berbanding mereka yang memiliki bentuk muka besar dan lebar. Lihat sahaja aplikasi telefon hari ini. Hampir semua aplikasi photo editor memiliki fungsi mengecilkan wajah. Saya pasti setiap telefon pintar milik wanita punya satu aplikasi edit wajah ini.

Saya berkunjung ke klinik milik Doktor Ee, iaitu Ee Clinic yang bertempat di Sri Petaling, Kuala Lumpur. Saya ingin mencuba sendiri rawatan estetik V-shape yang disediakan oleh klinik ini. Dr. Ee mencadangkan saya untuk mendapatkan suntikan botoks pada bahagian rahang wajah dan filler di bahagian dagu saya. Ini kerana saya memiliki rahang yang agak besar. Botoks bertujuan untuk mengecut serta mematikan secara sementara otot pada sekitar rahang lalu membentuk struktur wajah yang lebih kecil. Filler pada bahagian dagu pula disuntik dan dibentuk menjadi lebih tirus.

Pada mulanya, saya agak gementar (walaupun sudah beberapa kali saya ke klinik estetik) melihat jarum yang bakal disuntik pada wajah. Lagi-lagi kata Dr. Ee untuk rawatan ini tidak memerlukan mereka untuk menyapu numb cream pada wajah saya. Hati risau, jika saya tidak dapat menerima kesakitan suntikan jarum pada wajah. Dr. Ee masuk ke dalam bilik rawatan dan menenangkan saya. Dia mengambil pensel dan mula melakar pada bahagian wajah saya mana yang hendak di suntik.

Proses botox mengambil masa yang amat singkat. Selepas mengenal pasti bahagian otot mana yang hendak dikecilkan, (caranya Doktor Ee suruh saya mengetap gigi beberapa kali untuk mengesan pergerakan otot), dia mula menyuntik. Alangkah terkejutnya saya kerana sedikit sakit pun tidak terasa. Manakala proses filler pula mengambil masa yang sedikit lama kerana struktur dagu saya yang agak bersegi. Dr. Ee perlu menyuntik lebih dari sekali untuk membentukkan dagu saya agar kelihatan lebih tirus dan tajam.

Foto sebelum dan selepas. Gambar selepas diambil setelah tiga minggu mendapatkan rawatan V-shape ini

Hasilnya, selepas tiga minggu, saya dapati wajah mula kelihatan lebih kecil terutama sekali pada bahagian rahang. Rahang yang kecil membolehkan saya melihat hasil dagu yang lebih tajam. Bak kata Doktor Ee, hasil sepenuhnya hanya boleh dilihat secara ketara selepas beberapa minggu. Saya bertanya kepada Doktor Ee, berapa lamakah efek suntikan ini akan bertahan pada wajah saya? Kata doktor, kesan botoks mampu bertahan sehingga 4-6 bulan manakala filler mampu bertahan sehingga 12-18 bulan. Lama-kelamaan cecair suntikan ini akan mula lenyap dan meresap ke dalam tubuh badan. Dan jika ada yang hendak melakukan prosedur touch-up, harus datang setelah cecair ini hilang sepenuhnya pada bahagian yang disuntik. Ini kerana, kita tidak mahukan hasil wajah yang tidak diingini (ini juga sebagai pesanan buat mereka yang terlalu obses dengan suntikan estetik).

Prosedur rawatan V-shape ini tidaklah mengambil masa yang lama. Lebih kurang 10-15 minit sahaja. Dan ia juga tidak memiliki sebarang proses downtime. Cuma kata Doktor Ee, kesan lebam suntikan jarum itu normal, namun saya juga tidak mengalami kesan-kesan lebam seperti yang dikatakan Doktor Ee. Cuma harus diingat, setelah melakukan prosedur botox, jangan sesekali kamu baring dalam posisi 180 darjah sekurang-kurangnya selama 4 jam selepas suntikan. Ini bagi mengelakkan botox daripada bergerak ke kawasan wajah yang lain. Manakala untuk filler, amat disarankan untuk tidak menekan kuat pada bahagian wajah yang telah disuntik. Ini kerana bahagian wajah kamu ini sudah dibentuk kemas oleh pakar dermatologi kamu.

Saranan saya untuk kamu yang mahu mencuba rawatan V-shape ini atau apa jua rawatan yang melibatkan filler dan botox, kunjungilah klinik estetik yang diiktiraf. Jangan berkunjung ke sebarang klinik. Tidak semestinya klinik estetik popular itu adalah satu klinik yang diiktiraf. Dan jika kamu tidak tahu ke mana hendak mendapatkan konsultasi untuk hal sebegini, kunjungilah Ee Clinic. Bukan sahaja doktornya yang peramah dan mampu menjawab segala persoalan kamu, persekitran klinik yang nyaman serta barisan staf yang peramah akan membuatkan kamu berasa cukup selesa.

Credit : https://stail.my/cerita/kecantikan/rawatan-estetik/